Zero Motorcycles lancar model elektrik baharu Zero SR/F

Zero Motorcycles pada 25 Februari 2019 yang lepas secara rasminya melancarkan model elektrik baharu keluarannya, hadir dengan nama yang agak unik iaitu Zero SR/F. Untuk pasaran USA, Zero SR/F merupakan model tahun 2020, dengan penghantaran kepada pelanggan akan bermula dalam suku kedua tahun ini.

Zero SR/F boleh didapati dalam dua varian iaitu Standard dan Premium, dengan pilihan warna untuk kedua-duanya Boardwalk Red dan Seabright Blue. Bagi model Standard, ianya dilengkapi dengan 3 kW Rapid Charger pada harga $18,995 USD, manakala model Premium dilengkapi dengan 6 kW Rapid Charger, fly screen, heated hand grips, dan aluminum bar ends, pada harga jualan $20,995 USD.

Menurut Zero Motorcycles, SR/F merupakan model motosikal komersial pertama paling tersambung yang berada di pasaran ketika ini, dan juga merupakan motosikal pintar sepenuhnya yang pertama. Ini kerana ianya dilengkapi sistem operasi Cypher III yang membolehkan penunggang memantau motosikal dalam empat area utama seperti Bike Status and Alerts, Charging, Ride Data Sharing, dan System Upgrades and Updates.

Untuk pengecasan penuh 100 peratus bateri, tempoh masa yang diambil dalam lingkungan antara 4.5 jam untuk model Standard dan 2.5 jam untuk model Premium. Jarak perjalanan gabungan antara bandar dan lebuh raya berada dalam lingkungan 123 batu, bergantung kepada jenis tunggangan dan juga kelajuan.

Dari segi kuasa, SR/F mampu menghamburkan kuasa maksimum 110hp @ 5,000rpm dengan tork puncak 140 ft-lb. Kelajuan maksimum motosikal elektrik ini dikatakan mampu mencapai sehingga 124 batu sejam. Tempoh jaminan standard adalah selama 2 tahun dan jaminan bateri adalah 5 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.