Honda CBR250RR bilakah akan masuk ke pasaran Malaysia?

Baru-baru ini sewaktu menjengah ke bilik pameran motosikal Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH), saya sempat bertanyakan kepada wakil jualan Honda perihal pelancaran model serba baharu Honda CBR250RR 2017 untuk pasaran Malaysia. Setakat ini CBR250RR telah dijual di pasaran Indonesia dan juga di pasaran Jepun.

Menurut wakil jualan BSH itu, CBR250RR tidak akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun ini, malah pada tahun 2018 akan datang pun belum tentu ianya akan dilancarkan. Ini kerana berdasarkan maklumat yang beliau terima, harga untuk CBR250RR jika ianya dilancarkan di pasaran Malaysia adalah tinggi dan tidak berdaya saing.

Dijangkakan harga yang akan ditawarkan untuk Honda CBR250RR di pasaran Malaysia boleh mencecah sehingga RM30,000.00, memandangkan model tersebut dilengkapi dengan pelbagai teknologi premium yang canggih mengalahkan model-model pesaingnya di dalam kelas yang sama, seperti Yamaha YZF-R25 dan Kawasaki Ninja 250.

Berita ini sudah pasti mengecewakan ramai peminat motosikal di negara kita, namun sudah tentu pihak BSH mengambil kira pelbagai faktor sebelum melancarkan sesuatu produk. Pertimbangan utama ialah mengenai untung rugi dalam bidang perniagaan, atau mungkin juga masanya belum sesuai untuk BSH melancarkan model tersebut ke pasaran tempatan.

Pada pendapat saya pula, Honda CBR250RR berkemungkinan besar akan dilancarkan juga di pasaran Malaysia suatu hari nanti. Itu pun mungkin selepas Yamaha memperkenalkan versi terbaharu YZF-R25 2018 dan Kawasaki dengan model Ninja 250 2018, yang menjadikan julat harga untuk ketiga-tiga model tidak jauh berbeza.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan adakah Yamaha YZF-R25 2018 akan menerima perubahan dan naik taraf ekstensif sehinggakan harga jualannya akan mengekori rapat harga CBR250RR, atau begitu juga dengan Ninja 250 2018 yang digembar-gembur akan memiliki enjin 250cc paling berkuasa apabila dilengkapi teknologi 4-silinder.

Apa yang boleh kita lakukan ketika ini ialah terus berharap agar BSH membuat keputusan muktamad untuk melancarkan CBR250RR di pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Memandangkan BSH masih belum membuat sebarang keputusan rasmi, boleh jadi akan ada kejutan daripada pihak mereka di Sepang MotoGP pada hujung Oktober ini.

Sama-sama kita nantikan, mungkin ada berita gembira dari BSH selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *