Mampukah Modenas GT150 mengejar Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Benelli RFS150i?

Setelah bermain dengan teka-teki dalam tempoh yang agak lama, saya kini yakin sepenuhnya bahawa Modenas akhirnya bakal melancarkan model moped pertamanya dengan enjin 150cc. Model tersebut setakat ini masih belum diberi nama rasmi, namun mungkin ianya akan dikenali dengan nama Modenas GT150, atau mungkin juga Modenas GT150R, mengikut jejak langkah nama model terdahulu Modenas GT128.

Menyentuh mengenai reka bentuknya, cukuplah kita melihatnya melalui beberapa keping gambar yang saya siarkan dalam dua artikel terdahulu, yang mana secara tidak langsung kita telah dapat melihat dengan jelas penampilan sebenarnya yang boleh dikatakan begitu menarik, sporty dan anggun. Kalau hendak dibandingkan dengan tiga model moped 150cc yang lain seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Benelli RFS150i, Modenas GT150 tidak perlu berasa segan untuk diletakkan bersebelahan ketiga-tiga model tersebut.

Dari segi sistem penjana kuasanya pula, apa lagi yang kita semua perlu komen atau memberikan sepatah dua kritikan? Enjinnya berkapasiti 150cc lengkap dengan klac tangan manual, dan mungkin ianya akan digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan sama seperti Honda RS150R dan Benelli RFS150i. Lebih dari itu, sistem brek cakera depan dan belakang serta suspensi belakang monoshock sudah cukup memberikan kita semua keterujaan dalam menantikan pelancarannya.

Enjin Modenas GT150 dibangunkan oleh Modenas sendiri dengan kerjasama Universiti Graz di Austria, memberikan kita semua lebih keyakinan bahawa ianya pasti cukup berkuasa, tahan lasak, dan paling penting kelajuannya pasti bukan calang-calang. Seandainya kelajuan maksimum Modenas GT150 mencecah 150 km/j, itu sudah cukup bagus dalam memberikan kredibiliti yang sangat diperlukan oleh Modenas agar momentum jualan model berkenaan meledak di pasaran.

Berdasarkan maklumat terkini, Modenas GT150 bakal dilancarkan mulai awal tahun 2018. Salah satu kelebihan model moped 150cc bertaraf nasional ini ialah harga yang akan ditawarkan, dijangka lebih murah berbanding pesaing-pesaingnya yang lain. Tak mungkin harganya akan melebihi harga yang ditawarkan oleh Y15ZR, RS150R dan RFS150i, kerana Modenas tahu teknologi dan prestasi yang baik pada sesebuah motosikal perlu seiring dengan kemampuan pembeli.

Dengan kehadiran Modenas GT150 apabila ianya berada di pasaran nanti, timbul pula persoalan setakat manakah kemampuannya dalam mengejar Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Benelli RFS150i? Bukan saja kemampuannya untuk mengejar apabila saling memecut laju di atas lebuh raya atau di litar perlumbaan, tetapi dari segi populariti, kepercayaan pengguna, daya tarikan pandangan pertama, atau adakah hanya bergantung kepada semangat patriotik semata-mata?

Yamaha dan Honda telah lama mempunyai peminat tegarnya yang tersendiri yang berdiri di atas kekuatan jenama masing-masing, manakala Benelli kini sedikit demi sedikit mula mengorak langkah untuk menarik lebih ramai peminat dengan barisan model terkininya. Mungkin ramai yang pernah kecewa dengan Modenas. Namun memandang jauh ke depan, Modenas GT150 ini pasti akan memberikan satu lembaran baru untuk Modenas, dan juga untuk peminat setianya.

Sama-sama kita tunggu pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *