Motosikal

Informasi Dua Roda

Chear Global lancar dua model baharu CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i

 

Chear Global Sdn Bhd (CGSB) hari ini melancarkan dua model motosikal baharu untuk pasaran Malaysia, kedua-duanya dalam segmen moped dan juga cafe racer iaitu CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i.

CMC Ario 110 akan ditawarkan pada harga asas yang cukup berpatutan iaitu sebanyak RM3,988 (tidak termasuk GST), manakala Italjet Buccaneer 250i akan dijual pada harga asas sebanyak RM15,500 (tidak termasuk GST).

Menurut CGSB, CMC Ario 110 pada asalnya merupakan motosikal buatan China daripada syarikat Guangzhou Haojin, tetapi telah diubahsuai semula agar ianya bersesuaian untuk pengguna di Malaysia.

Jentera tersebut dijana oleh enjin empat dengan sistem penyejukan udara dan kotak gear empat kelajuan, menghasilkan kuasa sehingga 4.8kW @ 7,500rpm dengan tork mencecah 7.0Nm @ 5,500rpm.

Bagi model cafe racer Italjet Buccaneer 250i, ianya dilengkapi enjin 250cc sejukan udara V-Twin dengan sistem suntikan bahan api, yang kemudiannya digandingkan dengan transmisi manual lima kelajuan.

Kuasa enjin yang dihasilkan setinggi 13kW @ 8,000rpm, dengan tork maksimum 19Nm @ 6,000rpm. Model tersebut juga dilengkapi brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, dengan tangki petrol berkapasiti 14 liter.

Dengan pelancaran kedua-dua model baharu itu oleh CGSB, pasaran motosikal moped dan cafe racer di negara kita kini bertambah meriah dan semakin rancak.

Sumber: Drebar.my

Motosikal © 2018