Yamaha perkenal YZF-R3 Monster Energy Yamaha MotoGP Edition 2020 untuk pasaran USA

Yamaha Motor USA pada awal bulan Jun 2019 yang lalu secara rasminya memperkenalkan YZF-R3 Monster Energy Yamaha MotoGP Edition model tahun 2020, dan bakal berada di pasaran USA mulai bulan Julai 2019. Harga yang ditetapkan adalah sebanyak $5,599 MSRP, bersamaan RM23,160.82 mengikut nilai kadar tukaran mata wang semasa.

Sama seperti model Yamaha 150 Exciter Monster Energy Yamaha MotoGP Edition 2019 di pasaran Vietnam dan Yamaha YZF-R125 Monster Energy Yamaha MotoGP Edition 2019 di pasaran Eropah, penampilan YZF-R3 tersebut adalah sebagai penghormatan kepada jentera Monster Energy Yamaha MotoGP YZR-M1 bagi musim ini yang ditunggang oleh dua pelumba handalan bertaraf superstar iaitu Valentino Rossi dan Maverick ViƱales.

Untuk pasaran Indonesia pada tarikh 27 Mei 2019 yang lalu, Yamaha Motor Indonesia turut melancarkan lima buah model dengan warna dan grafik Monster Energy Yamaha MotoGP Edition terbaharu, iaitu YZF-R25, YZF-R15, Vixion, Aerox 155 VVA dan MX King 150. Mungkin selepas ini akan tiba pula giliran pasaran Malaysia untuk menerima warna dan corak grafik MotoGP yang sama khusus untuk model Y15ZR, YZF-R15 dan YZF-R25.