BMW Motorrad Vision DC Roadster diperkenalkan, beri bayangan motosikal elektrik BMW pada masa depan

Pada masa depan, setiap model motosikal baharu dijangka akan dijana oleh tenaga elektrik sepenuhnya berbanding enjin konvensional seperti mana sekarang. Bagi BMW Motorrad yang selama ini terkenal dengan identiti enjin boxer dua silinder sejak lebih 90 tahun yang lalu, timbul persoalan bagaimanakah reka bentuk sebenar motosikal elektriknya nanti?

Jawapannya mungkin pada model BMW Motorrad Vision DC Roadster yang diperkenalkan baru-baru ini. Model tersebut hadir dengan penampilan yang cukup menarik sekali namun sekali pandang ianya masih mengekalkan imej terkenal BMW Motorrad selama ini. Setakat ini BMW Motorrad masih belum mendedahkan jumlah janaan kuasa yang dihasilkan oleh motosikal elektrik tersebut, serta jarak perjalanan berdasarkan sekali pengecasan.

Dengan pengenalan model konsep BMW Motorrad Vision DC Roadster ini yang memberikan petunjuk awal mengenai jentera dua roda masa depan syarikat dari Jerman itu, dapat dibuat kesimpulan bahawa evolusi seterusnya adalah sesuatu yang sangat menarik dan ditunggu-tunggu. Ianya sudah hampir untuk menjadi pilihan utama di pasaran massa.