Lakaran Kawasaki Ninja 250cc 4-silinder Model Year 2020 daripada Young Machine

Nampaknya kehangatan berita mengenai model terbaharu Kawasaki Ninja 250cc dengan enjin 4-silinder kian meningkat dan semakin panas, dengan kemunculan lakaran terkini daripada majalah permotoran terkenal Young Machine. Buat masa ini model tersebut dikenali dengan nama panggilan Kawasaki Ninja ZX-25R Model Year 2020, dan dikatakan bakal diperkenalkan secara rasmi hujung tahun ini di Tokyo Motor Show 2019.

Sebelum ini ramai yang agak kurang percaya bahawa Kawasaki akan mengeluarkan kembali jentera supersport 250cc dengan enjin 4-silinder, namun memandangkan Young Machine telah menjadikan model ini sebagai berita utama di muka depan majalah edisi terbaharunya bagi bulan Ogos 2019, bermakna berita ini mempunyai peratusan yang sangat tinggi untuk dipercayai. Mungkin Young Machine telah mendapat input lengkap mengenai model ini bersumberkan dari dalam syarikat Kawasaki sendiri.

Antara maklumat terkini yang cukup menarik mengenai Ninja ZX-25R 2020 ini ialah kuasa enjinnya yang dikatakan mencapai angka 60hp sekitar 20,000rpm, menjadikannya sebuah jentera 250cc yang sangat berprestasi berbanding model-model lain sekelas dengannya. Ciri-ciri lain sudah tentu mencapai tahap premium seperti sistem suspensi USD, sistem brek yang lebih mantap, sistem Ride by Wire, Swing Arm aluminium dan banyak lagi.