Honda Winner 2019 versi facelift terbaharu bakal dilancarkan di pasaran Vietnam pada 13 Julai 2019

Honda Winner 150cc di pasaran Vietnam merupakan salah sebuah model moped yang menjadi saingan kepada model Yamaha Exciter 150cc. Di pasaran Malaysia, ianya dikenali dengan nama Honda RS150R dan merupakan pilihan kedua selepas model Yamaha Y15ZR di kalangan para peminat motosikal tempatan.

Memandangkan sebelum ini model Exciter dan Y15ZR telah pun dilancarkan dalam versi facelift terbaharu dengan beberapa perubahan kosmetik yang menarik, kini tiba masanya giliran Honda Winner dan RS150R pula bakal tampil dengan versi facelift terbaharu yang bukan saja melibatkan aspek kosmetik, malah peningkatan dari segi prestasi.

Setakat ini, Honda Winner 150cc 2019 terbaharu akan dilancarkan terlebih dahulu di pasaran Vietnam pada tarikh 13 Julai 2019 akan datang, manakala Honda RS150R baharu dijangka hanya akan diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun depan. Sebagai pengenalan awal, video ‘teaser’ model berkenaan telah disiarkan oleh Honda Vietnam di dalam laman YouTube, seperti mana dapat anda saksikan dalam paparan di bawah.

Antara perubahan ketara terhadap Winner 2019 ini ialah bahagian depannya telah mengalami rombakan sepenuhnya, termasuk perubahan reka bentuk signifikan di bahagian belakang. Malah dikatakan juga model ini akan dilengkapi sistem brek ABS, menjadikan ianya selangkah lebih canggih dan selamat berbanding pesaing lain di dalam kelasnya, kecuali bagi model SYM Star SR 170 (ABS) model tahun 2019.

Paparan meter untuk Winner 2019 ini juga dikatakan bakal tampil dengan ciri digital sepenuhnya, berbanding versi terdahulu yang menggabungkan meter digital dan analog. Rekaan lampu depannya bagaikan mengambil inspirasi daripada model Honda CBR250RR, namun kedudukannya telah diubah ke bahagian dada berbanding di bahagian kepala.

Pada pendapat anda, adakah ketibaan Honda Winner 2019 atau Honda RS150R versi facelift terbaharu ini bakal menggugat populariti Yamaha Y15ZR? Mungkin dari segi penampilan dan kecantikan bolehlah dikatakan Y15ZR sukar digugat, namun dari segi prestasi dan kelajuan mana tahu RS150R akan menarik lebih ramai peminat setia.