Suzuki Gixxer 250 akan dilancarkan dalam versi fairing penuh untuk pasaran India pada 20hb. Mei 2019

Suzuki mempunyai pasaran motosikal yang cukup besar di negara India. Dalam kategori di bawah 200cc, syarikat tersebut menawarkan model Gixxer versi naked dan Gixxer SF dengan penampilan full fairing sporty, kedua-duanya dikuasakan enjin 154.9cc (4-stroke, 1-cylinder, Air-cooled, SOHC, 2 Valve, 5-speed). Model-model lain yang ditawarkan berupa skuter, motosikal besar dan motosikal dalam kategori off-road.

Bagi meluaskan pasaran di samping memberikan saingan terhadap dua lagi jenama popular di sana iaitu Yamaha dan Honda, Suzuki dikhabarkan bakal melancarkan sebuah model terbaharu dengan enjin 250cc, pada tarikh 20hb. Mei 2019 akan datang. Model yang dijangka akan dilancarkan itu merupakan kesinambungan kepada model Gixxer sedia ada, namun dengan enjin lebih besar dan spesifikasi lebih baik.

Sebelum ini ramai yang menjangkakan bahawa Suzuki akan melancarkan Gixxer 250 versi naked, namun beberapa hari yang lepas melalui sumber terbaru, dikatakan hanya model Gixxer versi full fairing sahaja akan diperkenalkan. Model tersebut dikatakan memiliki enjin 250cc dengan satu silinder tunggal, sistem penyejuk minyak, sistem brek ABS dual-channel, sistem lampu LED dan paparan meter digital sepenuhnya.

Spesifikasi teknikal yang bakal melengkapi Gixxer 250cc serba baharu itu boleh dikatakan tidak akan menyamai model-model 250cc yang lain seperti Yamaha YZF-R25, Kawasaki Ninja 250 atau Honda CBR250RR yang jauh lebih premium, namun untuk pasaran India, motosikal dengan spesifikasi tersebut sudah memadai dan bakal ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Agak menarik sebenarnya melihat penampilan dan spesifikasi Gixxer dan Gixxer SF dengan enjin 155cc yang dijual di pasaran India, namun sayangnya kedua-dua model tersebut tidak ditawarkan di pasaran Malaysia. Jika anda mengharapkan Gixxer 250 yang akan dilancarkan nanti akan turut dilancarkan di pasaran negara kita, harapan anda itu tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Ini kerana peminat motosikal tempatan di negara kita boleh dikatakan fobia dengan motosikal 250cc yang dilengkapi dengan enjin yang mempunyai hanya satu silinder tunggal, apatah lagi tanpa sistem penyejuk cecair. Mungkin kerana mereka beranggapan dua itu lebih baik daripada satu, dua itu lebih berkuasa, atau dua silinder itu dengan sistem penyejuk cecair sememangnya lebih berprestij.

Bagaimanapun berita baiknya, Suzuki tidak lama lagi dijangka akan melancarkan model terbaharu GSX-R250 untuk pasaran global dengan enjin dua silinder yang lebih berkuasa, di samping spesifikasi lebih premium berbanding model sedia ada GSX250R. Namun tarikh sebenar pelancaran untuk model tersebut masih lagi menjadi teka-teki.

Sementara itu, lebih baik kita menunggu pelancaran Suzuki Gixxer 250 serba baharu di pasaran India, yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh kurang dua minggu dari sekarang. Adakah penampilannya akan sama dengan model semasa Gixxer SF, atau bakal tampil lebih sporty? Untuk tatapan anda buat masa ini, saksikan gambar-gambar menarik Suzuki Gixxer dan Gixxer SF 2019 dalam galeri di bawah.

Galeri : 2019 Suzuki Gixxer & Gixxer SP

Galeri : 2019 Suzuki Gixxer SF & Gixxer SF SP