Benelli 302S model tahun 2019 di pasaran Thailand

Untuk pasaran Thailand, model terbaharu Benelli 302S telah ditawarkan dalam empat pilihan warna yang menarik iaitu hijau, putih, merah dan hitam. Model tersebut dikuasakan enjin parallel twin-cylinder dengan sistem electronic fuel injection, double overhead camshaft timing dan four valves, seterusnya menghasilkan kuasa dan tork masing-masing pada 38hp @ 11,000rpm dan 25.6Nm @ 9,750rpm.

Ciri-ciri utama yang melengkapi 302S model tahun 2019 tersebut antaranya termasuklah lampu depan LED dengan rekaan futuristik, paparan meter digital LCD sepenuhnya yang memaparkan pelbagai fungsi dan maklumat berguna, sistem brek ABS, fork upside-down hydraulic 41 mm di bahagian roda depan dan swinging arm (lengan ayun) dengan lateral adjustable shock absorber di bahagian roda belakang.

Benelli 302S 2019 dilancarkan di pasaran Thailand sewaktu berlangsungnya acara permotoran Thailand International Motor Expo 2018 yang berlangsung pada hujung tahun lepas. Turut diperkenalkan pada ketika itu ialah tiga lagi model lain iaitu Benelli TRK251, Benelli Leoncino 250 dan Benelli 502C. Selain Thailand, Benelli 302S turut dilancarkan di pasaran Vietnam. Pasaran Malaysia mungkin akan menyusul.