Yamaha Y15ZR Ultraman Limited Edition 2019 kini di pasaran Malaysia

Untuk para peminat tegar Yamaha Y15ZR di pasaran Malaysia, kini anda berpeluang untuk memiliki sebuah model edisi khas lagi terhad yang bukan sahaja menarik dan sporty, malah unik dan lain daripada yang lain. Apatah lagi jika suatu masa dahulu dan mungkin juga sekarang anda ialah seorang peminat tegar superhero Ultraman.

Memperkenalkan Yamaha Y15ZR Ultraman Limited Edition model tahun 2019, hanya dikeluarkan dalam edisi terhad sahaja, bermakna anda perlu cepat menempah model ini sebelum ianya kehabisan di pasaran. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan berapakah harga jualan yang ditawarkan untuk model Y15ZR edisi Ultraman ini.

Untuk anda yang masih berteka-teki dan kehairanan kenapakah Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) mengeluarkan Y15ZR edisi terhad Ultraman ini, sebenarnya ianya tiada kaitan dengan HLYM. Model ini dikeluarkan sendiri oleh kedai motosikal yang cuba mencari kelainan, sebagai salah satu teknik pemasaran viral masa kini.

Tambahan pula buat masa sekarang set cover custom untuk moped Y15ZR ini boleh didapati dalam pelbagai tema dan boleh dibeli secara online dengan mudah. Bukan sahaja ianya boleh dipasangkan dengan tema Ultraman, malah tema Dragon Ball, tema Avengers, malah tema Upin dan Ipin juga boleh dipasangkan asalkan ada permintaan.