Kawasaki tingkatkan pegangan saham dalam Modenas kepada 30 peratus

DRB-HICOM Berhad baru-baru ini pada 26hb. April 2019 telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah memetrai perjanjian dengan Kawasaki Heavy Industries, Ltd (KHI), untuk menjual sebanyak 14,300,000 saham biasa di dalam syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas).

Melalui perjanjian tersebut, KHI yang sebelum ini memiliki kepentingan 19 peratus di dalam Modenas, akan meningkatkan ekuitinya kepada 30 peratus. Jualan saham daripada DRB-HICOM itu bernilai RM40.3 juta, atas dasar persetujuan bersama antara pembeli dan penjual.

Selain itu, KHI juga dilaporkan akan membeli 52 juta saham keutamaan boleh tukar (convertible preference shares) yang akan dikeluarkan oleh Modenas. Apabila ditukar, pegangan ekuiti KMI di dalam syarikat pengeluar motosikal nasional itu akan meningkat kepada 48 peratus. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, CPS tersebut hanya akan ditukar tertakluk kepada Modenas melalui pencapaian beberapa tanda aras yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Dengan perubahan yang berlaku ini, dipercayai pada masa akan datang KHI akan memainkan peranan lebih aktif dalam Modenas, terutamanya dalam pengeluaran model-model baharu keluaran Modenas sama ada untuk pasaran tempatan atau pasaran luar negara. Tidak mustahil juga Modenas akan melancarkan model-model keluaran Kawasaki yang diperbaharui semula, menggunakan lencana Modenas.

Modenas dan KHI telah lama mempunyai hubungan perniagaan di pasaran Malaysia, bermula sejak tahun 1995 lagi. Antara model popular keluaran Modenas ialah Modenas Jaguh yang diasaskan daripada model Kawasaki Eliminator 125, manakala model kapchai Modenas Kriss 110 diasaskan daripada model Kawasaki Kazer 110.

Sumber : DRB-HICOM