Kawasaki Ninja ZX-25R model tahun 2020 dengan enjin empat silinder dijangka bakal dilancarkan

Setelah beberapa tahun berlalu, khabar angin mengenai model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-25R yang dilengkapi enjin empat silinder terus bertiup kencang. Peminat dunia permotoran di serata dunia ketika ini masih menaruh harapan yang tinggi bahawa model tersebut benar-benar akan wujud dan sedang dibangunkan oleh Kawasaki.

Berdasarkan maklumat terkini yang berlegar-legar di alam maya baru-baru ini, prototaip untuk model berkenaan dikatakan telah pun siap di kilang PT Kawasaki Motor Indonesia (KMI), menurut sumber dari negara jiran Indonesia. Sememangnya sejak beberapa tahun yang lepas, KMI dikatakan sedang membangunkan model empat silinder itu.

Kawasaki ketika ini menawarkan Ninja 250 dengan enjin dua silinder, yang memberikan saingan terhadap dua model popular Yamaha YZF-R25 dan Honda CBR250RR, kedua-duanya turut dilengkapi enjin jenis dua silinder. Jika benar Ninja ZX-25R dilancarkan nanti, ianya akan berada selangkah di hadapan dengan enjin empat silinder.

Menurut sumber itu lagi, bunyi yang dihasilkan oleh model prototaip Ninja ZX-25R yang telah siap di kilang KMI itu dikatakan menyamai bunyi motosikal besar lain. Berbanding enjin dua silinder, enjin empat silinder walaupun hanya berkapasiti 250cc, mampu menghasilkan bunyi yang cukup garang dengan bunyi bass yang begitu padu.

Dari segi spesifikasi yang lain, memandangkan enjin empat silinder mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding enjin dua silinder, dipercayai Kawasaki ZX-25R akan didatangkan dengan ciri-ciri lebih lengkap dan premium berbanding model semasa Ninja 250 2019, dan akan menuruti jejak langkah model Honda CBR250RR 2019.

Setakat ini pihak Kawasaki sendiri masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi bahawa mereka akan melancarkan Ninja ZX-25R, jadi berita ini masih dalam lingkungan khabar angin sahaja. Jika benar ianya akan dilancarkan di pasaran nanti, mungkin pada tahun depan sebagai model keluaran tahun 2020.

Namun sebelum itu sudah tentu ianya akan membuat kemunculan pertama dahulu, sama ada di acara permotoran Tokyo Motor Show 2019 atau di EICMA 2019 yang akan berlangsung pada hujung tahun ini. Pada pendapat anda, adakah benar selepas ini era motosikal supersport 250cc dengan enjin empat silinder akan kembali?