Honda RS150R berharga RM30,865.87 di pasaran Singapura

Seperti mana kita semua sedia maklum, nilai mata wang Dollar Singapura adalah lebih mahal berbanding nilai mata wang Ringgit Malaysia. Di samping itu, jumlah pendapatan pekerja di negara republik yang terletak berjiran itu juga jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah pendapatan pekerja di negara kita.

Jadi tidak hairanlah kalau harga barangan di sana jauh lebih mahal dan adakalanya dirasakan tidak masuk akal. Bagaimanapun bagi rakyat Singapura, taraf ekonomi mereka tidaklah terlalu membebankan kerana nilai mata wang yang mahal dan pendapatan yang tinggi dapat mengimbangi harga barangan yang mahal.

Honda RS150R merupakan sebuah model moped popular di pasaran Malaysia, begitu juga di pasaran negara ASEAN yang lain termasuk Singapura. Di pasaran Malaysia, Honda RS150R ditawarkan pada harga asas RM7,999.00 untuk varian Standard (Hitam, Biru & Merah), manakala Edisi Repsol boleh dimiliki pada harga RM8,299.00.

Di pasaran Singapura bagaimanapun, harga yang ditawarkan untuk model moped tersebut jauh lebih tinggi iaitu sebanyak $10,150.00, atau bersamaan RM30,865.87 jika ditukar kepada nilai pertukaran mata wang semasa. Honda RS150R dan lain-lain model keluaran Honda dijual di pasaran Singapura oleh syarikat Boon Siew Singapore.

Pada harga jualan mencecah RM30k, ianya dirasakan terlalu tinggi untuk sebuah model moped dengan enjin hanya 150cc. Namun begitu jika mengambil kira jumlah pendapatan yang diraih oleh rakyat Singapura dalam pelbagai sektor pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan, harga tersebut mungkin biasa-biasa saja di sana.