Model baharu Kawasaki Z250 ABS dan Z400 SE ABS 2019 dilancarkan di pasaran Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki baru-baru ini dengan rasminya telah melancarkan dua model baharu dalam kategori naked – Kawasaki Z250 ABS 2019 dan Kawasaki Z400 SE ABS 2019, masing-masing ditawarkan pada harga asas RM21,998.00 dan RM28,755.00 (tidak termasuk kos insuran, cukai jalan dan pendaftaran).

Kawasaki Z250 ABS dan Z400 SE ABS mempunyai gaya rekaan dan penampilan yang sama, namun dilengkapi enjin dengan kapasiti yang berbeza, termasuk aksesori dan warna yang juga berbeza memandangkan Z400 yang dilancarkan itu merupakan model SE (Special Edition). Kedua-dua model didatangkan dengan hanya satu warna tunggal iaitu Candy Lime Green untuk Z250 ABS dan Pearl Storm Grey untuk Z400 SE ABS.

Kawasaki Z250 ABS 2019 dikuasakan enjin berkapasiti 248cc (Water-cooled 4-stroke parallel 2-cylinder / DOHC 4 valve) dengan gandingan transmisi 6-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka 37PS @ 12,500rpm dengan tork puncak 23Nm @ 10,500rpm. Berat motosikal tersebut ialah 164 kg, dan dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter bersama-sama ketinggian tempat duduk 785 mm.

Untuk Kawasaki Z400 SE ABS 2019, ianya dikuasakan enjin 399cc (liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan kotak gear 6-kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 10,000rpm dan tork setinggi 38Nm @ 8,000rpm. Operasi enjin dan klac dipermudahkan dengan kelengkapan sistem Assist & Slipper Clutch, di samping berat 167 kg, tangki bahan api 14 liter dan ketinggian tempat duduk 785 mm.

Ciri-ciri lain yang melengkapi kedua-dua model tersebut termasuklah sistem lampu LED di bahagian depan dan belakang, paparan skrin LCD dengan takometer bergaya analog dengan ciri pelbagai fungsi dan sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang dengan ABS. Menurut Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Z250 ABS kini telah berada di pasaran tempatan, manakala Z400 SE ABS akan tiba mulai Mei 2019.

Artikel berkaitan :

Sumber : FB Seri Gading, Welly Advance Bikers & Fook Yong Motor