Penampakan Benelli BN150S sedang diuji di Malaysia

Baru-baru ini di atas Lebuhraya Utara -Selatan berdekatan Tol Sungai Dua, Pulau Pinang, saya telah ternampak sebuah model motosikal baharu yang sedang ditunggang uji. Berdasarkan pemerhatian dan carian maklumat di dalam internet, model yang sedang diuji itu sama seperti model Benelli BN150S yang dijual di pasaran China.

Ini bermakna Benelli Malaysia mungkin dalam perancangan untuk melancarkan model motosikal tersebut pada masa akan datang. Benelli BN150S dilengkapi enjin 149.8cc (single cylinder water cooling / SOHC / four valve three spark plug) dengan transmisi 6-kelajuan, menghasilkan prestasi 9.8kw @ 9,000rpm dan tork 12.5Nm @ 7,000rpm.

Ciri-ciri lain yang melengkapi model tersebut adalah seperti fork depan USD, brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api maksimum 10 liter, berat keseluruhan 145 kg dan ketinggian tempat duduk 770 mm. Pada pendapat anda, mampukah motosikal naked ini menarik perhatian peminat tempatan apabila dilancarkan nanti?