Honda CBR1000RR Fireblade model tahun 2004 di pasaran Jepun

Suatu ketika dahulu untuk pasaran domestik Jepun, Honda memperkenalkan model supersport terbaharu Honda CBR1000RR Fireblade yang memulakan jualannya mulai tarikh 20hb. April 2004. Model tersebut merupakan penyambung legasi kepada model CBR954RR yang membuat kemunculan pertama dalam tahun 1992.

Honda CBR1000RR Fireblade model tahun 2004 dilengkapi enjin 998cc yang direka semula (liquid-cooled, four-stroke DOHC inline four-cylinder engine), dan ianya dilengkapi dengan pelbagai teknologi moden dan canggih yang dibawa terus daripada jentera yang menguasai perlumbaan MotoGP Honda RC211V pada ketika itu.

Kuasa yang ditawarkan oleh Honda CBR1000RR Fireblade 2004 mencapai angka 94PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 84Nm @ 6,000rpm. Ianya boleh dikatakan antara jentera yang ringan di dalam kelasnya, dengan berat kering hanya 181 kg. Pilihan warna yang ditawarkan sewaktu ianya dilancarkan dalam bulan April 2004 ialah Winning Red, Force Silver Metallic dan Pearl Fadeless White.

Kemudiannya dalam bulan Oktober 2004, Honda memperkenalkan tambahan warna baharu untuk CBR1000RR Fireblade 2004 iaitu Vivid Candy Tahitian Blue yang menggantikan warna Force Silver Metallic. Turut diperkenalkan ketika itu ialah Honda CBR1000RR Fireblade Special Edition 2004 yang hadir dalam tema Repsol.