Modenas batal pengeluaran moped 150cc dan 175cc

Ini berita yang bukan saja tidak menggembirakan, malah sangat menyedihkan dalam arena permotoran tempatan. Menurut maklumat terkini daripada pihak Modenas beberapa hari yang lepas, syarikat pengeluar motosikal tempatan yang berpengkalan di Gurun, Kedah itu secara rasminya membuat keputusan untuk tidak meneruskan pembangunan model moped 150cc dan 175cc.

Setelah beberapa tahun menghabiskan modal dan juga masa, serta memberikan harapan kepada peminat motosikal tempatan untuk melihat model moped 150cc dan 175cc, inilah hasilnya. Modenas tidak akan mengeluarkan moped 150cc dan 175cc bagi bersaing dengan model-model lain di pasaran tempatan, dan pengeluaran model tersebut yang hampir-hampir sahaja berlaku telah dibatalkan. Muktamad.

Antara alasan yang diberikan ialah enjin untuk kedua-dua model tersebut kini tidak lagi akan mampu memenuhi piawaian enjin Euro 4 atau Euro 5, dan kos pembangunannya nanti untuk mematuhi piawaian kedua-dua regulasi alam sekitar itu dijangka akan memakan kos terlalu tinggi dan tidak lagi efektif. Ini bermakna enjin moped 150cc dan 175cc tersebut ketika ini hanya mematuhi piawaian Euro 3 sahaja.

Bagaimanapun, alasan yang diberikan oleh pihak Modenas mengenai perkara tersebut didapati agak janggal. Pasaran motosikal di Malaysia ketika ini masih lagi membenarkan motosikal dengan enjin Euro 3 dijual, sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi, atau mungkin lebih. Jadi apa salahnya kalau pengeluaran model moped yang dinanti-nantikan itu ditawarkan untuk pasaran tempatan?

Sepatutnya moped Modenas 150cc dan 175cc, atau mungkin hanya model 175cc sahaja, diteruskan pembangunannya, dikeluarkan dan dijual untuk pasaran tempatan. Sekurang-kurangnya dunia permotoran tempatan dan antarabangsa tahu bahawa Modenas masih lagi mampu mencabar, dan berada di jalan yang betul untuk menjadi antara pengeluar motosikal bertaraf antarabangsa yang berjaya.

Tanpa pengeluaran dan penjualan model baharu moped 150cc dan 175cc, Modenas kini boleh dikatakan telah tewas sepenuhnya dalam segmen motosikal paling popular di pasaran tempatan ketika ini, yang dikuasai oleh jenama Yamaha, Honda, SYM dan Benelli. Mungkin Modenas mempunyai perancangan lain pada masa depan, namun begitu perlukah kita semua menaruh harapan dan seterusnya kecewa?