Berapakah harga rasmi untuk Yamaha Y15ZR V2 2019?

Model terbaharu Yamaha Y15ZR V2 2019 telah selamat dilancarkan di pasaran Malaysia pada tarikh 24hb. Mac 2019 yang lalu. Bagaimanapun harga jualan untuk model moped popular itu setakat ini masih belum diumumkan, dan dikatakan hanya akan diumumkan dalam bulan April ini tidak lama lagi.

Memandangkan Y15ZR V2 2019 ini merupakan sebuah model yang telah menerima naik taraf wajah (facelifted) terkini disertai hadir dengan beberapa komponen baharu yang lebih menarik, sudah pasti semua itu melibatkan kos yang bakal diserap melalui harga jualan. Persoalannya, berapakah harga yang akan ditawarkan nanti?

Berdasarkan harga yang ditetapkan oleh pekedai yang menjual Y15ZR bagi model terdahulu, boleh dikatakan peningkatan harganya begitu tinggi sekali sehingga mencecah belasan ribu ringgit, sedangkan harga jualan runcit yang disyorkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) tidak pun melebihi paras RM9,000.00.

Menurut sumber dan juga perkiraan melalui pengalaman dan pengamatan, bolehlah dijangkakan harga yang akan ditawarkan untuk Y15ZR V2 2019 ini sekali lagi akan mencapai harga belasan ribu ringgit, mungkin dalam lingkungan RM11K – RM13K. Harga runcit yang akan disyorkan oleh HLYM mungkin dalam RM9K++ sahaja, namun seperti biasa harga akhir akan ditentukan oleh pekedai mengikut selera masing-masing.

Bagaimanapun pekedai tidaklah boleh disalahkan seratus-peratus, kerana selagi ada permintaan, selagi itulah mereka bebas menentukan harga mengikut selera sendiri. Yamaha Y15ZR tidak dinafikan sangat popular dan mendapat permintaan yang sangat tinggi. Jadi tidak hairanlah harganya akan terus meningkat berdasarkan permintaan.

Jika benar harga Yamaha Y15ZR V2 2019 akan mencecah belasan ribu ringgit dan lebih tinggi berbanding harga yang pernah ditawarkan untuk Y15ZR versi terdahulu, sanggupkah anda untuk membelinya nanti? Bagaimana pula dengan harga untuk Yamaha Y15ZR V2 Racing Spirit Edition? Adakah bakal mencecah RM15K?

Artikel berkaitan :

  1. Yamaha Y15ZR V2 model tahun 2019 terbaharu dilancarkan, harga akan diumumkan pada April 2019
  2. Galeri : Yamaha Y15ZR V2 2019 kini di pasaran Malaysia