Yamaha Lagenda 115Z 2019 terima kemaskini warna baharu, kini bertaraf Energy Efficient Vehicle (EEV)

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) dalam bulan Februari yang lepas telah mengumumkan kehadiran Yamaha Lagenda 115Z 2019 dengan kemaskini warna baharu yang lebih menarik dan segar. Tiga pilihan warna tersebut ialah Biru, Kuning dan Merah, bersama-sama jalur grafik yang menjadikan penampilannya lebih sporty.

Di samping itu, HLYM juga telah mengumumkan bahawa Yamaha Lagenda 115Z 2019 telah diperakui sebagai sebuah motosikal bertaraf Energy Efficient Vehicle (EEV), berkuatkuasa dari 25hb. Februari 2019. Oleh itu motosikal tersebut kini menerima insentif berkaitan daripada pihak kerajaan, termasuk harga jualan yang lebih rendah.

Dengan adanya insentif sebagai motosikal bertaraf EEV, harga baharu untuk Lagenda 115Z 2019 kini ditetapkan sebanyak RM5,180.00 (tidak termasuk kos insuran, cukai jalan dan pendaftaran). Sebagai tambahan, setiap pembeli akan turut menerima kunci cakera (stainless steel Yamaha Disc Lock) untuk ciri keselamatan yang lebih baik.

Yamaha Lagenda 115Z 2019 dikuasakan enjin berkapasiti 113.7cc (Single Cylinder, Air-cooled, 4-Stroke, SOHC, 2-Valve) yang menghasilkan kuasa maksimum 7.4kW @ 7,750rpm, dengan tork puncak 9.9Nm @ 6,500rpm. Untuk ciri keselamatan, ianya dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan brek dram di belakang.