Yamaha YZF-R25 2019 kini di pasaran Malaysia, harga asas RM19,998.00

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) baru-baru ini telah mengumumkan harga untuk Yamaha YZF-R25 model tahun 2019 di pasaran tempatan telah ditetapkan sebanyak RM19,998.00. Harga tersebut merupakan harga asas tidak termasuk kos insuran, cukai jalan dan pendaftaran.

Masih mengekalkan enjin 250cc sejukan cecair, 2-silinder sebaris DOHC dan casis yang boleh dipercayai, YZF-R25 2019 versi facelift terbaharu ini telah menerima beberapa naik taraf yang lebih menarik untuk prestasi, kestabilan dan keselesaan.

Antaranya penggunaan fork depan jenis terbalik, rekaan baharu muka depan dengan saluran kemasukan udara di tengah seperti jentera M1, rekaan baharu tangki minyak dan kemaskini posisi handlebar, fairing depan dan windscreen baharu, lampu utama LED dengan gaya ‘Glaring Face’, panel instrumen LCD dan handlebar crown.

Untuk pasaran Malaysia, YZF-R25 2019 boleh didapati dalam pilihan warna Biru dan Merah, dengan penghantaran kepada pengedar Yamaha akan bermula dalam minggu ketiga bulan ini. Sebagai tambahan, setiap pembeli akan menerima kunci cakera (stainless steel Yamaha Disc Lock) untuk ciri keselamatan yang lebih baik.