Honda CBR250RR 2019 dilancarkan di pasaran Thailand, harga menghampiri RM32k, diimport sepenuhnya dari Jepun

Berita baik untuk peminat motosikal di pasaran negara jiran Thailand, apabila Honda secara rasminya melancarkan model 250cc yang ditunggu-tunggu iaitu Honda CBR250RR 2019. Selepas Indonesia dan Jepun, Thailand merupakan pasaran seterusnya untuk model berkenaan yang dijual pada harga 249,000 Thai Bhat.

Apabila ditukar kepada nilai matawang Malaysia, harga tersebut menghampiri angka RM32,000.00. Sememangnya harga tersebut telah dijangkakan memandangkan CBR250RR merupakan sebuah model berprestasi tinggi yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan komponen moden dan canggih dalam kategori premium.

Untuk pasaran Thailand, Honda CBR250RR 2019 boleh didapati dalam pilihan dua warna sahaja iaitu merah dan hitam, dan bakal berada di pasaran seluruh negara mulai 01hb. April 2019. Motosikal tersebut ketika ini sedang dipamerkan di Bangkok Motor Show 2019 yang berlangsung dari 27hb. Mac sehingga 07hb. April 2019. Menurut Honda, unit yang dijual di pasaran Thailand diimport sepenuhnya dari Jepun.

Melihat kepada harga yang ditawarkan untuk CBR250RR di pasaran Thailand, ianya boleh dikatakan menjadi sebab utama kenapa Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) keberatan untuk membawa masuk model tersebut ke sini. Harga di pasaran Thailand kebiasaannya tidak jauh berbeza dengan harga yang ditawarkan di pasaran Malaysia.

Artikel berkaitan : Honda CBR250RR ABS 2019 kini di pasaran Jepun, warna baharu Grand Prix Red (Stripe) bertemakan corak HRC