Yamaha Y15ZR V2 model tahun 2019 terbaharu dilancarkan, harga akan diumumkan pada April 2019

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) kelmarin secara rasminya memperkenalkan Yamaha Y15ZR V2 2019 terbaharu untuk pasaran tempatan. Model tersebut dilancarkan dalam suasana yang penuh meriah bertempat di perlumbaan Petronas Malaysia Cub Prix 2019 dalam pusingan yang berlangsung di Jasin, Melaka.

Bagi versi terbaharu Y15ZR 2019 ini, ianya merupakan versi sama yang sebelum ini lebih awal dilancarkan di pasaran Vietnam, Indonesia dan juga Thailand. Empat pilihan warna dan grafik yang menarik tersedia sebagai pilihan seperti Kelabu, Biru, Merah dan Cyan. Bagi setiap pembelian, HLYM bermurah hati memberikan cenderahati berupa kunci cakera Yamaha yang bernilai sebanyak RM100.00.

Menurut HLYM, harga untuk Yamaha Y15ZR 2019 setakat ini masih belum diumumkan kerana dalam proses menantikan pengesahan daripada pihak berkuasa. Dijangkakan harga rasminya hanya akan diketahui dalam bulan April depan. Sebagai perbandingan, Yamaha Y15ZR GP Edition 2018 ditawarkan pada harga asas RM8,588.00.

Antara kelebihan Y15ZR V2 2019 berbanding versi terdahulu Y15ZR V1 sudah tentulah melalui penampilan terbaharunya yang kini lebih sporty dan menawan. Y15ZR 2019 terbaharu kini dilengkapi lampu depan LED dengan rekaan baharu yang lebih canggih, manakala paparan meter kini LCD sepenuhnya yang kelihatan begitu menarik sekali. Tayar hadapan juga lebih lebar yang kini menggunakan saiz 90/80-17.

Dari segi dimensi, Yamaha Y15ZR V2 2019 kini lebih panjang dan lebih tinggi, masing-masing dengan tambahan 15 mm dan 20 mm, manakala ketinggian tempat duduk juga meningkat sebanyak 15 mm daripada tanah. Dari segi berat, ianya mempunyai tambahan sebanyak 2 kg berbanding model terdahulu, kepada berat baharu 117 kg.

Ciri-ciri lain yang didatangkan untuk Y15ZR 2019 ini termasuklah suis lampu tinggi untuk memotong, Answer Lock Key, suis untuk mematikan enjin dan lampu belok LED. Spesifikasi enjin bagaimanapun masih mengekalkan spesifikasi lama iaitu 150cc (Liquid-cooled, 4-stroke SOHC, Single Cylinder) dengan kuasa 11.3kW @ 8,500rpm dan tork 13.8Nm @ 7,000rpm. Sistem transmisinya juga masih kekal 5-kelajuan.

Bagi para peminat Y15ZR, sudah tentu berasa kecewa kerana beberapa spesifikasi yang diharap-harapkan tidak menjadi kenyataan. Antaranya enjin VVA 155cc yang lebih berkuasa dan lebih laju, fork depan jenis terbalik (USD), sistem transmisi @ kotak gear 6-kelajuan dan mungkin juga sistem brek ABS sama seperti yang melengkapi model moped SYM VF185 yang dijual di pasaran Greece.

Berkenaan harga, ini juga merupakan satu isu sensitif yang seringkali mendapat rungutan peminat dan pengguna motosikal di pasaran Malaysia. Kebiasaannya harga runcit yang disyorkan oleh Yamaha untuk Y15ZR seringkali tidak sama dengan harga yang ditawarkan oleh kedai menjual motosikal, yang mana harganya jauh lebih tinggi.

Entah di mana silapnya, walaupun harga yang ditawarkan oleh pihak kedai adalah tinggi dan adakalanya tidak munasabah, Yamaha YSuku kekal popular dan laris bak pisang goreng panas. Melalui pelancaran versi terbaharu YSuku 2019 ini, HLYM meletakkan sasaran untuk menjual sebanyak 9,000 unit sebulan bagi model tersebut.