Yamaha Y15ZR Version 2.0 2019 dijangka akan dilancarkan pada 24 Mac 2019

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) dijangka akan melancarkan model terbaharu Yamaha Y15ZR 2019 tidak lama lagi, yang mana model Version 2.0 tersebut sebelum ini telah pun dilancarkan di pasaran Vietnam, Indonesia dan juga Thailand.

Buat masa ini masih belum diketahui bilakah model tersebut akan dilancarkan, namun teaser yang disiarkan di dalam laman sesawang dan laman Facebook rasmi HLYM mungkin telah memberikan petunjuk awal. Berdasarkan teaser tersebut, sebuah model motosikal terbaharu akan dilancarkan pada tarikh 24 Mac 2019 di Jasin, Melaka.

Teaser tersebut dengan jelas menyebut “Beranikah anda mencabar kuasa dan prestasi?”. Frasa tersebut mungkin ditujukan kepada model Y15ZR V2 kerana model tersebut kini telah menerima naik taraf yang agak signifikan.

Berdasarkan model Yamaha Exciter 150 V2 2019, model tersebut kini hadir dengan lampu depan LED rekaan baharu yang lebih sporty, suis lampu kecemasan dan lampu kecemasan, meter LCD digital sepenuhnya, tayar depan lebih besar bersaiz 90/80-17, suspensi monoshock dengan lengan ayun yang lebih selesa dan stabil, dan juga Answer Back Key untuk kemudahan pencarian sehingga 20 meter.

Jadi tidak mustahil model yang akan dilancarkan pada hari Ahad minggu depan ialah Yamaha Y15ZR V2 2019. Tambahan pula imej yang terpapar pada teaser tersebut dengan jelas menunjukkan lampu LED posisi (LED position lamps) milik Y15ZR.