MV Agusta Dragster 800 RR America 2019, terhad 200 unit

Bertempat di pameran motosikal EICMA pada tarikh 04hb. November 2018 yang lepas, MV Agusta telah memperkenalkan model edisi terhad Dragster 800 RR America, yang akan dikeluarkan dalam jumlah 200 unit sahaja. Penampilan model tersebut berkonsepkan tiga warna yang sinonim dengan America iaitu merah, putih dan biru.

Menurut MV Agusta, pengenalan Dragster 800 RR America 2019 juga adalah sebagai penghormatan kepada model lama keluaran syarikat tersebut yang sebelum ini menggunakan skim warna dan tanda nama America yang sama, iaitu MV Agusta S America 750 dengan enjin 4-silinder yang dikeluarkan pada tahun 1975.

Kemudiannya selepas lebih 25 tahun, konsep tersebut diteruskan oleh model Brutale 4-silinder, dan pada tahun 2012 juga oleh model Brutale dengan enjin 4-silinder. Pada 2017, model pertama Brutale America dengan enjin 3-silinder telah diperkenalkan. Oleh kerana kejayaan model tersebut, MV Agusta telah membuat keputusan untuk memperkenalkan model America seterusnya melalui model Dragster 800 RR.

MV Agusta Dragster 800 RR America dikuasakan enjin tiga silinder dengan kapasiti 798cc, dengan prestasi maksimum 140hp @ 12,300rpm dan tork puncak 87Nm @ 10,100rpm. Kelajuan maksimum motosikal tersebut mencapai 244 km/j. Untuk pengumpul koleksi terutamanya rakyat Amerika, model ini pasti menjadi pilihan.