Yamaha FZ250 PHAZER model tahun 1985

Yamaha FZ250 PHAZER ini merupakan model keluaran tahun 1985. Berdasarkan maklumat yang ada, ianya dikeluarkan untuk pasaran Jepun. Apa yang menariknya mengenai model ini ialah konfigurasi enjinnya yang bersesaran 249cc dengan 4-silinder sebaris (Liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, in-line 4-cylinder, 249cm³).

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 14,500rpm dengan tork puncak 24.5Nm @ 11,500rpm. Ukuran panjang x lebar x tinggi berada pada angka 1,950mm × 690mm × 1,060mm, dengan berat 138 kilogram. Tiga pilihan warna tersedia iaitu putih merah, putih biru dan hitam, bersama-sama tempat duduk berwarna merah dan biru.

Reka bentuk Yamaha FZ250 PHAZER 1985 ini boleh dikatakan inovatif dan pada ketika ini ianya telah menjadi sebuah model retro klasik yang masih lagi sporty dan bergaya. Menurut Yamaha, prestasinya yang berkuasa setanding dengan model sport 2-lejang yang lain, yang mana pada ketika itu hampir tidak pernah difikirkan kemunculannya.