Benelli RFS 150i model tahun 2019 kini tampil dengan warna dan grafik baharu

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini dengan rasminya memperkenalkan Benelli RFS 150i model tahun 2019 yang kini tampil dengan warna dan grafik baharu yang lebih segar, bergaya dan sporty. Selain itu, model tersebut juga dilengkapi muffler yang lebih sporty dan bakal memberikan prestasi yang lebih baik kepada penunggang.

Padanan warna yang paling menyerlah dan bakal mendapat perhatian ramai sudah tentulah bagi versi Benelli RFS 150i SE 2019, di mana model tersebut menerima badan berwarna biru yang digabungkan dengan sport rim berwarna hijau florosen. Selain warna dan grafik, ia juga dilengkapi grip pendikit dan tuil brek boleh laras yang diperbuat daripada material logam aloi yang ringan.

Pilihan warna dan grafik terbaharu lain bagi versi Standard iaitu merah dan hitam juga tidak kurang menariknya. Harga jualan untuk Benelli RFS 150i 2019 adalah sebanyak RM7,238.00 bagi versi Standard, manakala versi SE dijual pada harga RM7,488.00. Semua harga yang disebutkan itu belum termasuk kos cukai jalan dan insuran.

Benelli RFS 150i 2019 dilengkapi enjin bersesaran 149.8cc (1-Silinder / 4 – Lejang /4 –Injap / SOHC) yang dipadankan transmisi 6-kelajuan, dengan kuasa yang dihasilkan mencapai 15.5hp @ 8,500rpm dan tork puncak 13Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem EFI dan 3 palam pencucuh untuk prestasi yang lebih baik.

Kelengkapan dan ciri-ciri lain untuk model moped tersebut antaranya termasuklah sistem suspensi depan upside-down, suspensi belakang monoshock berjenama Kayaba, sistem brek cakera depan dan belakang, tayar depan dan belakang masing-masing berukuran 70/90-17 dan 120/70-17 dan tangki bahan api maksimum 4.8 liter.