Keeway RKF 125 ditawarkan di pasaran Eropah

Salah sebuah model yang ditawarkan oleh jenama Keeway di pasaran Eropah ialah Keeway RKF 125, yang mana ianya merupakan sebuah motosikal dalam segmen naked dengan reka bentuk kompak. RKF 125 dikuasakan enjin 124.8cc satu silinder yang dilengkapi sistem Electronic Fuel Injection dan padanan transmisi 5-kelajuan.

Enjin tersebut telah mematuhi piawaian Euro 4 dan menghasilkan kuasa maksimum 9.0kW @ 9,500rpm dengan tork puncak 10Nm @ 7,500rpm. Sistem penyejuknya merupakan jenis cecair. Tangki bahan api yang disediakan mampu mengisi sehingga 10 liter petrol, manakala berat motosikal tersebut ialah 137 kg (unladen weight). Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 770 mm dengan jarak kelegaan bumi 170 mm.

Sistem suspensi RKF 125 merupakan jenis USD bersama-sama suspensi belakang tunggal dengan lengan ayun. Sistem brek cakera di bahagian depan dan di bahagian belakang dengan CBS melengkapkan ciri keselamatan model tersebut. Tayar depan dan belakang yang digunakan masing-masing bersaiz 100/80-17 dan 130/70-17.