Yamaha MT-15 2019 dilancarkan di pasaran India

Berita baik untuk peminat motosikal di negara India. Yamaha hari ini secara rasminya melancarkan model terbaharu Yamaha MT-15 2019 di negara tersebut, pada harga jualan sebanyak 13,600 Indian Rupee. Ianya bersamaan RM8,041.66 mengikut kadar tukaran semasa, dan harga yang ditawarkan itu boleh dikatakan sangat berpatutan.

Yamaha MT-15 sebelum ini terlebih dahulu diperkenalkan di negara Indonesia dan Thailand. Untuk pasaran India, motosikal kompak dan berperwatakan agresif itu hadir dengan tema The Dark Warrior, bersama-sama pelbagai ciri-ciri menarik antaranya seperti Bi Functional LED Headlights, Assist & Slipper Clutch, Single Channel ABS, Negative LCD Display with Gear Shift Indication, 155cc Liquid Cooled 4V SOHC FI Engine, Variable Valve Actuation (VVA), Negative LCD Display with Gear Shift Indication dan Raised LED Tail Light.

Pilihan warna yang ditawarkan ialah Metallic Black dan Dark Matt Blue. Aspek teknikal enjin seperti yang disebutkan tadi ialah MT-15 dikuasakan enjin berkapasiti 155c (Liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) yang dipadankan transmisi 6-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai 19.3PS @10,000rpm dengan tork puncak 14.7Nm @ 8,500rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api dan teknologi VVA yang cekap.

Berat Yamaha MT-15 2019 ialah 138 kg dengan jarak kelegaan bumi minimum 155 mm, manakala tangki bahan apinya mampu mengisi sehingga 10 liter petrol. Ketinggian tempat duduknya mencapai angka 810 mm. Sistem suspensi depan masih mengekalkan jenis telescopic (suspensi USD di pasaran Indonesia dan Thailand), manakala sistem brek cakera di bahagian roda depan (ABS) dan belakang.