Honda NR model tahun 1992

Honda NR merupakan salah sebuah motosikal superbike tercanggih keluaran Honda, diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1992. Menurut maklumat daripada Wikipedia, pengeluaran model tersebut dalam lingkungan 300 unit sahaja, dan ianya menjadi motosikal paling mahal pada ketika itu dengan harga jualan mencecah $50,000.

Honda NR dikuasakan enjin V4 dengan kapasiti 747cc, merupakan enjin dengan piston oval yang membolehkan setiap silinder memiliki 8 valve, menjadikan jumlah kesemuanya ialah 32 valve. Lengkap dengan sistem PGM-FI dan transmisi 6-kelajuan, janaan kuasa enjin pada jentera tersebut mencapai paras 77PS @ 11,500rpm dengan tork 5.4kgm @ 9,000rpm (sumber dari press release Honda JP).

Bagaimanapun menurut sumber yang lain, Honda NR mampu menghasilkan kuasa maksimum yang lebih tinggi mencapai 125hp @ 14,000rpm dalam versi standard. Teknologi termaju yang melengkapi NR termasuklah CFRP (Carbon Fiber Reinforced Polymer) dan material ringan yang mahal seperti titanium dan magnesium.

Honda NR bukanlah sebuah motosikal terlaris, malah banyak lagi model lain yang dijual pada harga lebih rendah namun mempunyai prestasi yang setanding. Bagaimanapun NR telah membuktikan kepada dunia bahawa betapa canggihnya teknologi yang ada pada Honda, dan mereka mampu melakukannya jika mereka mahu.