Honda CB150R 2019 dilancarkan di pasaran Thailand

Pada tarikh 08hb. Mac 2019 yang lepas, model terbaharu Honda CB150R 2019 secara rasminya dilancarkan di pasaran Thailand. Hadir dengan tema Neo Sports Cafe, CB150R tampil sebagai pilihan terkini dengan konsep THE STREETSTER di samping model Honda CB150R ExMotion yang dilancarkan pada September 2017.

Untuk pasaran Thailand, Honda CB150R 2019 terbaharu ini tersedia dalam pilihan tiga warna iaitu Putih / Hitam, Merah / Hitam dan Hitam. Turut ditawarkan ialah model dengan sistem brek ABS dengan G-Sensor dalam pilihan warna Merah / Hitam dan Hitam. Harga jualan bermula dari 99,800 Baht, bersamaan sekitar RM12,857.53.

Ciri-ciri yang melengkapi CB150R antaranya seperti sistem lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen meter LCD dengan pelbagai fungsi, rekaan tangki yang agresif dan bergaya termasuk rekaan penutupnya, lengan ayun ringan, rekaan muffler ekzos yang seimbang dan nampak mewah, serta tayar belakang lebar 150 mm yang stabil.

Honda CB150R 2019 dikuasakan enjin bersesaran 149cc DOHC 4 Valve dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI, yang kemudiannya dipadankan kotak gear 6-kelajuan yang lancar. Berat jentera kompak ini ialah 125 kg (net weight), manakala isipadu maksimum tangki minyaknya yang boleh diisi mencapai angka 8.5 liter.