MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro 2019 menang anugerah motosikal tercantik di EICMA 2018

Pameran motosikal antarabangsa EICMA 2018 yang berlangsung di Milan, Itali, telah menghimpunkan pelbagai model motosikal terbaharu di dalam pelbagai kategori. Dalam pameran yang berlangsung pada bulan November tahun lepas, MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro 2019 telah dipilih sebagai motosikal tercantik di EICMA 2018.

Motosikal tersebut telah menerima undian sebanyak 35 peratus daripada lebih 16,000 pengundi, manakala tempat kedua dengan undian sebanyak 19 peratus dimenangi oleh model Ducati Hypermotard SP. Seterusnya model Aprilia RSV4 1100 Factory dengan jumlah undian yang diterima sebanyak 9 peratus, menang tempat ketiga.

Brutale 1000 Serie Oro merupakan model terbaharu yang diperkenalkan oleh MV Agusta, hadir dengan kuasa maksimum 212hp dan kelajuan puncak lebih 300 km/j. Model hyper-naked itu sememangnya bukan sahaja mempunyai penampilan tercantik, malah perwatakan brutal yang menjadi penanda aras baharu di dalam kategorinya.