Kawasaki Z250 model tahun 2019 kini berwajah baharu

Untuk pasaran tahun 2019, jentera jalanan dalam segmen naked iaitu Kawasaki Z250 telah mengalami perubahan dari segi rekaan, paling signifikan ialah di bahagian lampu depan utamanya. Boleh dikatakan rekaan baharu Kawasaki Z250 2019 telah berjaya menjadikan penampilan terkininya lebih sporty dan segar, namun kekal agresif.

Buat masa sekarang Z250 2019 masih belum dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Bagaimanapun untuk pasaran Thailand, Z250 2019 terbaharu telah pun dilancarkan pada harga jualan sebanyak 163,000 Baht (RM21,083.75 mengikut kadar tukaran semasa), dalam pilihan warna tunggal Pearl Stardust White / Metallic Spark Black.

Untuk pasaran Jepun, Z250 2019 telah pun berada di pasaran sejak 15hb. Februari 2019 yang lalu, dalam pilihan dua warna iaitu Pearl Stardust White / Metallic Spark Black dan Candy Cardinal Red / Metallic Flat Spark Black, seperti mana anda boleh saksikan gambar-gambar menariknya dalam galeri yang dipaparkan di bawah.

Untuk pasaran Jepun, harga jualannya adalah sebanyak 597,240 Yen (RM21,935.24). Dari aspek teknikal, Z250 dilengkapi enjin berkapasiti 248cc (Water-cooled 4-stroke parallel 2-cylinder / DOHC 4 valve) dengan gandingan transmisi 6-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka 37PS @ 12,500rpm dengan tork 23Nm @ 10,500rpm.