Honda CB250R 2019 di pasaran Jepun terima penambahbaikan dan warna baharu

Untuk pasaran Jepun, Honda CB250R model tahun 2019 telah menerima penambahbaikan terkini di bahagian suspensi, termasuklah pilihan warna terbaharu biru yang menawan bersama-sama sistem brek ABS sebagai ciri standard. Model tersebut akan berada di pasaran Jepun secara rasmi mulai tarikh 19hb. April 2019 akan datang.

Selain itu, Honda CB250R 2019 berwarna biru dan merah turut diperkemaskan dengan rim aloi berwarna coklat (brown), di samping tambahan warna hitam matte di bahagian lampu utama dan fender depan. Sebagai tambahan, fork depan CB250R kini didatangkan dengan warna gangsa untuk kesemua warna pada model berkenaan.

Dari segi teknikal, CB250R masih mengekalkan enjin 249cc (Water cooling 4-stroke DOHC 4-valve single cylinder) dengan transmisi 6-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai paras 27PS @ 9,000rpm dengan tork 23Nm @ 8,000rpm. Berat CB250R ialah 144 kg, ketinggian tempat duduk 795 mm dan kapasiti tangki petrol 10 liter.