Suzuki Rider R150 2019 di pasaran Vietnam

Apabila Suzuki menarik diri daripada pasaran Malaysia dan tidak lagi menjual motosikal bersaiz kecil, sebaliknya hanya menumpukan pasaran motosikal besar, ramai peminat motosikal tempatan yang berasa sedih dan kecewa. Apatah lagi pasaran Malaysia terlepas peluang untuk melihat kehadiran model Belang R150 versi terbaharu.

Suzuki Belang dikenali dengan nama Suzuki Raider R150 di pasaran Vietnam, yang kini telah sampai kepada model tahun 2019. Pasaran lain untuk model berkenaan antaranya ialah pasaran Indonesia, Thailand dan Filipina. Antara kelebihan Raider R150 terbaharu ini ialah ianya dilengkapi enjin berkuasa dengan sistem Fuel Injection.

Untuk pasaran Vietnam, Suzuki Raider R150 2019 boleh didapati dalam beberapa pilihan warna yang menarik, termasuk versi GP Edition. Enjin berkapasiti 147.3cc yang melengkapi Raider R150 dan dipadankan transmisi 6-kelajuan menghasilkan prestasi bertenaga 18.45hp @ 10,000rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 8,500rpm.

Antara sebab Suzuki tidak lagi menjual motosikal di bawah 200cc di pasaran Malaysia ketika ini ialah kerana persaingan yang terlalu sengit dengan jenama-jenama lain. Entah kenapa peminat motosikal tempatan kurang meminati produk keluaran Suzuki. Apa pun diharapkan suatu hari nanti Suzuki akan kembali bersama-sama Belang R150 FI.