SM Sport 110R 2019 hadir dengan warna dan grafik baharu

SM Sport merupakan jenama motosikal tempatan baharu yang diperkenalkan hampir dua tahun yang lepas oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd. Model pertama mereka SM Sport 110R telah mencatatkan jualan yang amat memberangsangkan dan kini ianya diperkenalkan dengan warna dan grafik baharu yang lebih menarik dan bergaya.

SM Sport 110R 2019 dilengkapi enjin 109cc SOHC yang mempunyai fungsi penyejuk udara yang mematuhi piawaian EURO 3, yang mana ianya telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Sistem Suis Penjimatan Bahan Api pada model tersebut memberikan prestasi yang cemerlang dari segi penjimatan minyak.

Di samping reka bentuknya yang aerodinamik dan sporti, SM Sport 110R juga mempunyai beberapa ciri keselamatan istimewa seperti “day time running light” (DRL), signal hadapan dan belakang LED, sistem suspensi belakang Kayaba (KYB), ruang penyimpanan besar, suis anti-kecurian, sepasang tayar tanpa tiub dan satu soket pengecas USB 5V.

SM Sport 110R 2019 terbaharu akan dijual pada harga RM3,918.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insuran) dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km yang mana tiba terdahulu. Terdapat tiga pilihan warna yang menarik iaitu hitam, biru dan merah. Jika berminat, sila kunjungi pengedar sah berdekatan anda untuk maklumat lanjut.