Honda PCX 2019 terima warna baharu Sophisticated Matte Silver di pasaran Indonesia

Pada 04hb. Februari 2019 yang lalu, PT Astra Honda Motor (AHM) secara rasminya memperkenalkan skuter Honda PCX model tahun 2019 yang kini didatangkan dengan pilihan warna baharu Sophisticated Matte Silver. Pilihan warna lain yang turut tersedia adalah seperti Wonderful White, Brilliant Black dan Majestic Matte Red.

Honda PCX dilengkapi enjin bersesaran 150cc dengan sistem penyampaian bahan api PGM-FI, serta menawarkan kuasa maksimum 14.7PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.2Nm @ 6,500rpm. Dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang cekap, ianya memberikan prestasi yang terbaik untuk model skuter yang elegan ini.

Honda PCX untuk pasaran Indonesia boleh didapati dalam varian dengan sistem brek CBS (Combined Brake System) atau ABS (Anti-Lock Braking System), dan dibekalkan ciri-ciri standard lain seperti sistem brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api seluas 8 liter, ruang penyimpanan yang luas berkapasiti 28.8 liter, soket pengecas, lampu hazard, Honda Smart Key System dan tayar tanpa tiub yang lebar.

Harga jualan yang ditetapkan untuk Honda PCX di pasaran Indonesia adalah sebanyak Rp 28.025.000 untuk varian CBS dan Rp 31.025.000 untuk varian ABS. Bagi varian PCX Hybrid, ianya boleh dimiliki pada harga Rp 41.325.000.