Benelli Leoncino model tahun 2019 diperkenalkan

Benelli Leoncino kini sudah sampai ke model tahun 2019. Ianya hadir dengan menggabungkan tradisi, mitos dan semangat dengan gaya kontemporari, inovasi dan prestasi. Pengiktirafan kepada motosikal legenda Itali yang menyumbang kepada sejarah jenamanya dan hari ini menempatkan identiti dirinya dalam dunia moden.

Benelli Leoncino 2019 merupakan sebuah motosikal jalanan yang elegan, pantas dan kompak. Ianya memiliki rim aloi 17 inci yang memberikan kepuasan maksimum di jalan raya, dengan tayar 120/70-ZR17 di bahagian depan dan 160/60-ZR17 di bahagian belakang, menjamin kestabilan dan prestasi dalam apa jua keadaan.

Suspensi depan menampilkan fork jenis terbalik 45 mm yang digandingkan dengan kaliper brek 4 piston yang menggenggam cakera 320 mm. Pergerakan lengan ayun belakang dikawal oleh penyerap hentak tunggal dan pada masa yang sama pemberhentian ditangani oleh cakera 260 mm dengan kaliper satu piston.

Leoncino memiliki enjin empat lejang silinder berkembar bersesaran 500cc, penyejuk cecair, sistem suntikan elektronik, kotak gear 6-kelajuan, dengan kuasa maksimum mencapai 35kW @ 8,500rpm dan tork maksimum 46Nm @ 6,000rpm. Untuk tahun 2019, Leoncino boleh didapati dalam pilihan warna merah, perak, coklat dan hitam.