Honda Super Cub 50 Street dan Super Cub 110 Street Limited Edition 2019 diperkenalkan untuk pasaran Jepun

Honda baru-baru ini telah memperkenalkan dua model Super Cub terbaharu untuk pasaran Jepun, kedua-duanya merupakan model Limited Edition yang dikeluarkan dalam jumlah keseluruhan hanya 2,000 unit sahaja. Kedua-dua model tersebut ialah Honda Super Cub 50 Street 2019 dan Honda Super Cub 110 Street 2019.

Kedua-dua model tersebut Super Cub 50 Street dan Super Cub 110 Street didatangkan dengan warna “Bonnie Blue” dan “Harvest Beige”, dengan sentuhan warna hitam dan krom di beberapa bahagian motosikal yang membuatkan kedua-dua model tersebut tampil menyerlah melalui gabungan warna yang elegan dan sofistikated.

Menurut Honda, siri Super Cub dilengkapi enjin 4-lejang yang menawarkan tahap ekonomi cemerlang dan berdaya tahan, bersama-sama kotak gear automatik yang lancar. Model yang terkenal di serata dunia itu juga mudah dikendalikan, sama ada untuk kegunaan persendirian atau untuk kegunaan dalam bidang perniagaan.

Untuk pasaran Jepun, Honda Super Cub 50 Street 2019 dan Honda Super Cub 110 Street 2019 akan berada di pasaran secara rasmi mulai 15 Mac 2019. Super Cub 50 Street boleh dimiliki pada harga 243,000 Yen (RM8,937.88), manakala Super Cub 110 Street harganya ditetapkan sebanyak 286,200 Yen (RM10,526.83).