Benelli TRK 502 model tahun 2019

Benelli TRK 502 merupakan sebuah model pengembaraan khusus untuk perjalanan jarak jauh, namun pada masa yang sama juga sesuai untuk kegunaan di dalam bandar. Untuk model tahun 2019, Benelli TRK 502 boleh didapati dalam pilihan warna putih, merah dan hitam yang tampil sporty dan menawan.

Benelli TRK 502 2019 dilengkapi enjin dua silinder empat lejang dengan sistem penyejuk cecair, dalam kapasiti 500cc yang menghasilkan prestasi bertenaga. Kuasa maksimumnya mencapai 35kW @ 8,500rpm dengan tork puncak 46Nm @ 6,000rpm, bermakna ianya memberikan respon sempurna dalam semua keadaan. Kotak gear 6-kelajuannya dikawal oleh klac hidraulik yang memberikan kawalan mudah.

Untuk pengembaraan yang lebih mengujakan, TRK 502 tersedia kapasiti isian bahan api sehingga 20 liter, dengan lampu utama LED dan sistem suspensi yang menawarkan keselesaan untuk penunggang dan juga penumpang. Di bahagian depannya ialah fork upside-down dengan travel 145 mm, manakala di belakangnya ialah swing arm dengan penyerap hentak tengah dengan spring preload boleh laras.

Benelli TRK 502 turut menawarkan keselesaan maksimum dalam pelbagai aspek, terima kasih kepada fairing depan yang besar dan langsing, pelindung tangan (hand guards) yang dinamik dan cermin penghadang angin yang dapat memberikan perlindungan kepada penunggang di mana-mana persekitaran.

Kestabilan, keselamatan dan ketepatan adalah kata kunci utama Benelli TRK 502 terbaharu ini. Ianya diperlihatkan melalui prestasi sistem pemberhentian yang menggabungkan brek cakera berkembar di bahagian roda depan dengan diameter 302 mm, kaliper 4 piston dan ABS, dengan cakera belakang berdiameter 260 mm bersama-sama kaliper 1 piston.

Rim aloi aluminium berdiameter 17 inci yang dibekalkan untuk TRK 502 diperkemaskan oleh tayar depan bersaiz 120/70-R17 bersama-sama tayar belakang 160/60-R17, yang akhirnya melengkapkan pakej menakjubkan motosikal dalam segmen kembara ini. Untuk anda yang mahukan pengembaraan lebih ekstrem, TRK 502 juga boleh didapati dalam versi Benelli TRK 502X model tahun 2019.