Warna baharu untuk Honda Rebel 250 dan Rebel 500 model tahun 2019 di pasaran Jepun

Honda Rebel 250 dan Honda Rebel 500 di pasaran Jepun baru-baru ini telah menerima pilihan warna baharu untuk musim jualan tahun 2019. Bagi model Rebel 250, dua pilihan warna baharu tersebut ialah Pearl Cadet Gray dan Matt Fresco Brown, yang kini dijual bersama-sama warna sedia ada Graphite Black dan Mat Armored Silver Metallic.

Untuk model Rebel 500 pula, Graphite Black merupakan warna baharu yang kini ditawarkan bersama-sama warna terdahulu Mat Armored Silver Metallic. Sebagai tambahan, kerangka Rebel 250 dan Rebel 500 juga telah ditukar kepada warna Matte Black bagi memberikan imej penampilan yang lebih gagah dan bersahaja (cool).

Honda Rebel 250 2019 di pasaran Jepun dilengkapi enjin berkapasiti 249cc (Water-cooled 4-stroke DOHC 4 valve single cylinder) yang dipadankan transmisi 6-kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 26PS @ 9,500rpm dengan tork puncak 22Nm @ 7,750rpm. Rebel 250 dilengkapi sistem brek cakera di kedua-dua bahagian rodanya, dan boleh didapati dalam pilihan dengan sistem brek ABS dan Non-ABS.

Bagi model Honda Rebel 500 2019 pula, ianya dilengkapi enjin berkapasiti 471cc (Water-cooled 4-stroke DOHC 4-valve in-line 2 cylinder) yang dipadankan transmisi 6-kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 46PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 43Nm @ 6,500rpm. Rebel 500 turut dilengkapi sistem brek cakera dan ABS.

Honda Rebel 250 dan Rebel 500 kedua-duanya mempunyai tangki minyak dengan isian maksimum 11 liter, namun dari segi berat, Rebel 250 mempunyai berat 168 kg (ABS 170 kg) dan Rebel 500 mempunyai berat 190 kg. Dengan gaya sebuah cruiser dan ketinggian tempat duduk hanya 690 mm, tunggangan Rebel pastinya menyeronokkan.

Galeri : 2019 Honda Rebel 250 (ABS & Non-ABS)

Galeri : 2019 Honda Rebel 500 ABS