Model konsep MV Agusta Superveloce 800 dipersembahkan di EICMA 2018

Sewaktu berlangsungnya pameran motosikal antarabangsa EICMA 2018 di Milan, Itali dalam bulan November yang lalu, MV Agusta telah mempersembahkan sebuah model konsep terbaharu yang diberi nama MV Agusta Superveloce 800.

Berita baiknya, model konsep MV Agusta Superveloce 800 ini bakal dikeluarkan dalam versi produksi dalam tempoh separuh kedua tahun 2019. Model ini tampil luar biasa, terutamanya rekaan lampu depan dan belakangnya yang unik dan elegan, termasuk kedudukan rekaan tiga ekzosnya, dua di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri.

Menurut MV Agusta, asas pembinaan model konsep MV Agusta Superveloce 800 diambil daripada model MV Agusta F3 800 yang sememangnya sangat pantas, dengan beberapa penyesuaian utama yang meningkatkan lagi prestasi Superveloce 800.

Enjin pada model tersebut kemudiannya diperbaiki sepenuhnya untuk meningkatkan ciri-ciri kuasanya yang cemerlang, tanpa mengecualikan peningkatan kuasa maksimum.