Kawasaki Ninja 400 model tahun 2019 di pasaran Eropah

Kawasaki Ninja 400 merupakan kesinambungan kepada model Kawasaki Ninja 300, diperkenalkan secara rasmi di Tokyo Motor Show 2017. Model tersebut kemudiannya ditawarkan sebagai model tahun 2018, dan kini sampai kepada model tahun 2019.

Untuk pasaran Eropah, Kawasaki Ninja 400 2019 boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Lime green / Ebony (KRT Edition) dan Pearl Storm Gray / Metallic Magnetic Dark Gray. Kawasaki Ninja 400 Performance 2019 turut ditawarkan di pasaran Eropah, yang mana ianya dilengkapi dengan seleksi aksesori asli daripada Kawasaki.

Dari segi teknikal, Kawasaki Ninja 400 dilengkapi enjin berkapasiti 399cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan padanan transmisi 6-kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 38Nm @ 8,000rpm. Melengkapkan enjin tersebut ialah sistem Assist & Slipper Clutch.

Kawasaki Ninja 400 bukan saja mempunyai enjin dengan prestasi cemerlang, malah memiliki kerangka trellis yang ringan dengan ketegaran optimum, seterusnya menyumbang kepada berat keseluruhan (curb mass) kepada hanya 168 kg. Sistem brek cakera depan berdiameter 310 mm dengan ABS dan brek belakang 220 mm memastikan kuasa pemberhentian sentiasa dalam keadaan mantap dan selamat.

Untuk keselesaan dan kemudahan penunggang, tempat duduk Ninja 400 mempunyai ketinggian pada paras 785 mm. Tangki petrol dengan kapasiti maksimum 14 liter pula memastikan perjalanan mencapai jarak lebih jauh. Untuk pengendalian lebih stabil, Ninja 400 dibekalkan tayar depan berukuran 110/70-R17 dan belakang 150/60-R17.

Setakat ini berdasarkan pemerhatian dan maklumat sedia ada, Kawasaki Ninja 400 telah pun dijual di pasaran Malaysia, pada harga sekitar RM29,998 (sumber dari Mudah.my). Harga tersebut boleh dikatakan berbaloi dengan apa yang ditawarkan, tambahan pula Ninja 400 ini tidak dinafikan mempunyak reka bentuk sangat sporty.