Adakah Modenas akan melancarkan Bajaj Boxer 150?

Berdasarkan laporan yang diterbitkan dalam bulan Oktober 2017 yang lalu, Modenas dikatakan mempunyai perancangan untuk melancarkan sebuah model baharu untuk pasaran tempatan iaitu Bajaj Boxer 150. Model tersebut merupakan hasil kerjasama di antara Modenas dan Bajaj Auto Limited (BAL) dari India.

Baru-baru ini berdasarkan laporan dari akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, Modenas dikatakan akan melancarkan dua model baharu dalam segmen jalanan dan moped, dengan enjin untuk kedua-dua model tersebut adalah 150cc ke bawah. Mungkinkah salah satu model yang akan dilancarkan itu adalah Bajaj Boxer 150? Jika dilancarkan di pasaran tempatan nanti, sudah tentu ianya akan diberi nama baru.

Dari segi spesifikasi teknikal, Bajaj Boxer 150 dikuasakan enjin bersesaran 144.8cc (4 Stroke, Natural air cooled, SI engine) yang menghasilkan kuasa maksimum bertenaga 12PS @ 7,500rpm dengan tork puncak 12.26Nm @ 4,500rpm. Kapasiti tangki bahan api model tersebut seluas 11 liter dan mempunyai berat 123 kg (kerb weight).

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada benar atau tidak Modenas akan melancarkan Bajaj Boxer 150, namun berdasarkan laporan terdahulu, model tersebut sememangnya berada dalam perancangan syarikat pengeluar motosikal nasional itu. Seperkara lagi, Bajaj Boxer 150 turut mempunyai varian lebih tahan lasak iaitu Bajaj Boxer X150, yang sesuai sekali digunakan di kawasan luar bandar.

Apa pula pendapat anda, adakah Bajaj Boxer 150 atau Bajaj Boxer X150 ini sesuai untuk pasaran Malaysia?