Kawasaki Versys-X 300 model tahun 2019

Kawasaki Versys-X 300 merupakan sebuah model pengembaraan yang ditawarkan dengan enjin lebih kecil berbanding model-model Versys yang lain seperti Versys 650 dan Versys 1000. Bagaimanapun selain Versys-X 300, turut ditawarkan ialah Versys-X 250 dengan enjin 249cc dan ketika ini turut dijual di pasaran Malaysia.

Untuk pasaran tahun 2019, Kawasaki Versys-X 300 didatangkan dalam pilihan dua warna iaitu Candy Lime Green / Metallic Flat Spark Black dan Metallic Moondust Grey / Metallic Flat Spark Black. Enjinnya berkapasiti 296cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves), dipadankan transmisi 6-kelajuan dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menghasilkan prestasi maksimum 40PS @ 11,500rpm dengan tork puncak 25.7Nm @ 10,000rpm.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Versys-X 300 2019 ini termasuklah kapasiti tangki bahan api 17 liter, ketinggian tempat duduk penunggang 845 mm, ruang kelegaan bumi 180 mm dan berat motosikal (curb mass) 175 kg. Suspensi depannya ialah fork telescopic 41 mm, suspensi belakang tunggal (Bottom-Link Uni-Trak, gas-charged shock and adjustable preload), dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS.

Tayar yang digunakan berukuran 100/90-19M/C 57S di bahagian depan, manakala di bahagian belakang berukuran 130/80-17M/C 65S, masing-masing dipadankan rim berjejari yang didatangkan dalam saiz 19 dan 17 inci. Versys-X 300 turut ditawarkan dengan pelbagai aksesori asli Kawasaki untuk pengembaraan yang lebih selesa.