Honda PCX Hybrid 2019 kini di pasaran Malaysia, harga asas RM13,499.00

Bertempat di pameran automotif KLIMS 2018 yang berlangsung pada November 2018 yang lalu, Boon Siew Honda Sdn Bhd secara rasminya melancarkan Honda PCX Hybrid 2019 untuk pasaran Malaysia. Harga asas untuk model berkenaan ditetapkan sebanyak RM13,499.00, dan hanya tersedia dalam satu warna sahaja iaitu biru gelap.

Honda PCX Hybrid dikuasakan enjin bersesaran 149.32cc (Single Cylinder, Liquid Cooled, SOHC 4-Stroke 2 Valve, PGM-Fi) yang menghasilkan kuasa maksimum 10.8kW @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.6N.m @ 6,500rpm. Sistem transmisi yang digandingkan dengan enjin tersebut merupakan jenis automatik (V-Matic).

Menurut Boon Siew Honda, enjin eSP 150cc dengan sistem hybrid yang melengkapi PCX Hybrid menawarkan prestasi yang dinamik, pada masa yang cekap penggunaan bahan api dan mesra alam. Ciri Idling Stop System (ISS) pada PCX Hybrid misalnya akan mematikan enjin apabila berhenti, seterusnya mengelakkan pembaziran petrol.

Antara spesifikasi dan ciri-ciri moden lain yang melengkapi PCX Hybrid termasuklah Honda Smart Key System, panel meter digital LCD, lampu LED dengan ciri LED nyala siang, tiga pilihan mod tunggangan iaitu Drive Mode, Sport Mode dan Idling Off Mode, rim bersaiz 14 inci, dan lampu belakang LED yang tampil dengan rekaan baharu.