Benelli BN 251 model tahun 2019

Benelli BN 251 kini sampai ke model tahun 2019. Sekali pandang, model ini sebenarnya sama seperti model Benelli TNT 25 yang dijual di pasaran Malaysia, cuma nama sahaja berbeza. BN 251 merupakan sebuah model naked sporty yang ringan dan lincah, jimat penggunaan bahan api dan menawarkan karakter tunggangan yang mudah.

Enjin yang menjana kuasa BN 251 mempunyai kapasiti 250cc (liquid cooled single cylinder, 4-stroke DOHC) yang menghasilkan kuasa maksimum 25.8hp @ 9,250rpm dan tork puncak 21.1Nm @ 8,000rpm. Kotak gear yang dipadankan untuk enjin dengan piawaian Euro 4 tersebut merupakan unit 6-kelajuan yang beroperasi dengan lancar.

Sistem suspensi yang dibekalkan untuk BN 251 terdiri daripada fork depan upside-down 41 mm dan suspensi monoshock di bahagian belakang dengan swing arm. Untuk pemberhentian yang mudah, peranannya dimainkan oleh brek cakera depan 280 mm dengan kaliper empat piston dan cakera belakang 240 mm dengan kaliper satu piston.

Rim aloi aluminium 17 inci dengan tayar depan 110/70 dan belakang 150/60 menyerlahkan lagi penampilan sporty BN 251 di samping meningkatkan pengendaliannya yang impresif. Selanjutnya, BN 251 dilengkapi tangki bahan api dengan isian maksimum 17 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan berat 163 kg.

Benelli BN 251 model tahun 2019 tersedia dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti putih, merah dan hitam. Untuk anda, saksikan gambar-gambar menarik BN 251 dalam galeri yang disediakan di bawah. Klik gambar untuk saiz yang lebih besar.