Motosikal elektrik Harley-Davidson LiveWire di pasaran USA mulai Ogos 2019

Dalam bulan Januari yang lepas, Harley-Davidson telah mengumumkan model elektrik pertamanya Harley-Davidson LiveWire model tahun 2020, bakal berada di pasaran USA mulai bulan Ogos 2019. Harga yang ditawarkan bermula dari $29,799, dan boleh didapati dalam tiga pilihan warna seperti Orange Fuse, Yellow Fuse dan Vivid Black.

Harley Davidson LiveWire digerakkan oleh sistem penjana kuasa elektrik H-D Revelation, yang dikatakan mampu menghasilkan 100 peratus tork segera apabila pendikit dipulas, dan 100 peratus tork tersebut sentiasa tersedia. Oleh kerana ianya motosikal elektrik, LiveWire tidak memerlukan operasi klac dan penukaran gear.

LiveWire dilengkapi dengan sistem penyambungan H-D Connect, yang membolehkan penunggangnya mendapatkan data dan informasi melalui applikasi Harley-Davidson App. Menggunakan aplikasi tersebut, pemiliknya boleh mendapatkan status cas bateri dan baki jarak tunggangan, boleh mengetahui lokasi stesen pengecasan, boleh mengesan kedudukan motosikal, termasuklah adanya sistem pengesanan GPS yang boleh mengesan lokasi motosikal jika berlakunya kes kecurian.

Aplikasi tersebut juga memberikan perkhidmatan peringatan dan notifikasi, antaranya memberi peringatan mengenai keperluan penyelenggaraan motosikal pada masa akan datang, peringatan tarikh penyelenggaraan dan lain-lain notifikasi yang berkaitan.

Menurut Harley-Davidson, prestasi dan jarak tunggangan LiveWire telah dioptimumkan untuk tunggangan di dalam bandar, dengan anggaran jaraknya 110 batu sekali cas. Motosikal elektrik tersebut juga dibekalkan teknologi termaju termasuk Anti-lock Braking System dan Traction Control, yang beroperasi secara elektronik sepenuhnya.