Kawasaki Ninja H2R 2019 diperkenalkan, untuk tunggangan litar sahaja

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Kawasaki Ninja H2R merupakan model teratas selepas Ninja H2 dan Ninja H2 Carbon, namun jentera Hypersport ini dikeluarkan bukanlah untuk kegunaan di jalan raya biasa. Berdasarkan pesanan Kawasaki, Ninja H2R hanya sah untuk kegunaan di litar atau jalan tertutup sahaja. 

Kawasaki Ninja H2R dibangunkan dengan naik taraf ekstensif sebagai sebuah jentera dengan ciri-ciri perlumbaan, khusus untuk peminat tegar yang mahu merasai sendiri pengalaman maksimum menunggangnya. Lengkap dengan pelbagai teknologi dan sistem canggih, harganya di pasaran USA bermula dari $55,000 (RM223,987.50).

Masih lagi dikuasakan enjin supercas 998cc sama seperti yang digunakan pada model H2 dan H2R, janaan kuasa yang dimiliki oleh H2R model tahun 2019 ini sebenarnya jauh lebih tinggi, pada paras 310PS @ 14,000rpm dengan tork maksimum 165Nm @ 12,500rpm. Sangat impresif untuk sebuah mesin dengan berat 216 kg (curb mass) ini.

Antara perubahan baharu yang dilakukan pada H2R 2019 adalah sama seperti yang diterima oleh H2 dan H2 Carbon 2019, yang mana ianya termasuklah naik taraf sistem brek Brembo dan kemaskini emblem “Supercharged” baharu. Penggunaan cat Highly Durable memastikan kemasan cat pada H2R kekal sentiasa berkualiti tinggi.