Yamaha YZF-R1M 2019 di pasaran USA, hadir dengan prestasi mirip jentera MotoGP YZF-M1

Yamaha YZF-R1M merupakan varian dengan spesifikasi lebih tinggi berbanding model standard YZF-R1. Menurut Yamaha, YZF-R1M merupakan model dengan spesifikasi paling hampir dengan jentera MotoGP YZF-M1 yang boleh dimiliki ketika ini demi merasai pengalaman sebenar bagaikan menunggang sebuah jentera perlumbaan.

Bagi pasaran musim 2019, Yamaha YZF-R1M dijual di pasaran USA mulai bulan Februari ini, dengan harga yang ditetapkan bermula dari $22,999, atau bersamaan RM93,796.82 berdasarkan kadar tukaran semasa. Hanya satu pilihan warna sahaja ditawarkan iaitu Carbon Fiber/Liquid Metal, manakala di pasaran Eropah warna tersebut diberi nama Silver Blu Carbon, dan dijual pada harga £20,199.00 (pasaran UK).

Sama seperti model standard Yamaha YZF-R1 2019, Yamaha YZF-R1M 2019 juga dilengkapi enjin bersesaran 998cc dengan transmisi 6-kelajuan, dengan kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dan tork puncak 112.4Nm @ 11,500rpm. Berat keseluruhan YZF-R1M ialah 201 kg (wet weight), dengan isian maksimum tangki minyak 17 liter dan ketinggian tempat duduk berada pada paras 860 mm.

Apa yang membezakan antara YZF-R1 dan YZF-R1M ialah dari segi spesifikasi teknikal melibatkan sistem suspensi, sistem brek, binaan badan menggunakan carbon yang ringan, roda magnesium, tangki aluminium, dan banyak lagi talaan dan kemaskini eksklusif lain bagi menjadikan prestasinya mirip jentera perlumbaan sebenar.

Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) masih belum menawarkan secara rasmi YZF-R1M. Namun jika ianya dibawa masuk sekali pun, harganya mungkin mencecah sekitar RM180k, atau mungkin lebih. Sebagai perbandingan di dalam Mudah.my, Yamaha YZF-R1 2018 dijual pada harga RM147k.